Selamat Hari Raya Aidilfitri Mohon Maaf Zahir Batin kepada semua pengunjung blog ini...AFWAN MINKUM..

Friday, November 28, 2008

KeMunCak KetEnaNgan JiWa


Ini merupakan saat yang amat aku dambakan di dalam lembaran sejarah hidupku, dimana aku bersama teman seperjuangku dari Malaysia Hafizuddin telah merancang hampir 2 hari untuk mengatur jadual kami untuk menziarahi makam yang menjadi simbol kesucian bagi Bandar suci Qom ini iaitu Haram Fathimah Ma’sumin yang menjadi kemegahan dan kebanggaan penduduk di sekitar Qom. Menurut sirah, Fathimah Ma’sumin merupakan salah seorang adik perempuan kepada Imam Ali Reda a.s dan merupakan anak kepada Imam Musa Kazdim bin Jaafar bin Muhammad bin Hussain bin Hassan bin Ali bin Abi Thalib bin Abdul Muthalib dan merupakan cucu kepada Rasuallah S.A.W, beliau merupakan seorang yang taqwa, kuat beribadah, baik, dan macam-macam lagi, pendek kata semua sifat-sifat mahmudah itu terdapat di dalam diri anak keturunan Rasuallah ini yang sangat agung.

Kira-kira pada jam 2petang kami menuju ke rumah Ust. Idrus iaitu salah-seorang ustaz aku dan pelajar Malaysia di Qom. Di sana sambil kami menunggu beliau untuk bersiap, sempat juga aku bermain-main bersama anak beliau yang berketurunan Arab, warganegara Malaysia dan membesar di Iran iaitu Mahdi. Mahdi berusia 6 tahun dan satu kelebihan Mahdi ini adalah beliau sangat peramah, memang sangat-sangat peramah walaupon beliau tidak pandai berbahasa melayu tetapi dia tetap mesra dengan aku. Kira-kira jam 3 petang kami bertiga menaiki teksi menuju ke Haram.

Dari jauh kelihatan kubah emas yang tesergam indah dengan silauan sinar mentari yang terpantul darinya, burung-burung berterbangan mengelilingi kubah seakan-akan mengambil barakah dan turut menziarahi Haram. Hatiku sudah memikirkan bermacam-macam, apa yang harus aku buat? Apa amalan yang harus ku lakukan sejurus memasukinya? Apa doa yang harus ku baca di dalam nanti? Semua persoalan itu tidak ku layan apa yang kini ku mahu adalah memegang pintu masuknya dan menciumnya. Kelihatan di situ mereka sedang membaik pulih serta menaik taraf serta mengindahkan lagi persekitaran Haram, banyak pintu yang ditutup bagi memberi laluan kerja-kerja pembinaan. Sebelum memasuki Haram terlebih dahulu kami membaca ziarah izin, pada waktu itu boleh dikatakan penziarah kurang dan Haram tidak begitu padat, mungkin ini merupakan kesempatan yang saat baik untuk aku mengambil saat-saat indah disisi pusara Fathimah Ma’sumin.

Sejurus kaki kanan ku melangkah memasuki sempadan pintu Haram, aku merasakan sesuatu yang tidak pernah ku alami sebelumnya, dimana ketenangan dan kesegaran telah menyelebungi hatiku, sambil mataku mengamati kehalusan seni ukiran di dinding-dinding Haram. Hatiku berasa nyaman dan aku rasa tidak dapat ku ungkapkan dengan kata-kata perasaan pada ketika itu, ust idrus menganjurkan kami mebaca ziarah Ma’sumin, melakukan solat sunnah ziarah dan bermohon hajat. Selepas menunaikan solat sunnah ziarah, aku pon bermohon dengan penuh pengharapan kepada yang Haq dengan keagungan Muhammad S.A.W dan itrahnya serta disisi pusaranya manusia pilihan, aku yakin dan pasti doa aku itu didengari dan dipertimbangkan oleh Allah. Di kesempatan itu juga aku menyampaikan doa bagi hajat-hajat para saudara dan sahabat-sahabat aku di Malaysia. Aku juga berdoa agar????(eh ini rahsia maaf ye hehehe) selepas itu tiba lah di kemuncaknya dimana aku bertiga memegang pagar pusara (zarith) Fathimah Ma’sumin dan menciumnya sepuas hati. Pada saat itu hati aku sangat sayu dan sedih tetapi yang aneh tiada setitis pon air mata keluar dari celah-celah mata aku. Disitu aku peluk dengan erat pagar pusaranya dan aku cium sepuasnya. Selepas itu kami pergi pula melawat makam-makam para Ayatollah dan Syuhada di sekitar Haram.

Aku juga tidak melepaskan peluang mengambil gambar di sekitar haram, disekitar situ juga terdapat banyak bazar yang menjual variasi barangan. Di dalam Haram juga terdapat paip air untuk diminum, aku juga tidak melepaskan peluang itu, dan meminumnya sepuasnya dengan memberi salam atas Aba Abdillah al-Hussain. Kami semua keluar dari Haram, walaupon berat untuk meninggalkannya tetapi kami terpaksa dan yang pasti aku akan pergi lagi kelak walaupon bersendirian. Buat kali terakhir aku mencium pintu Haram dengan sepuasnya sambil mengucapkan salam atas Fathimah Ma’sumin dan selawat kepadanya.

Kami bertiga pon berjalan sekitar bazar dan sempat membeli buah tangan untuk seseorang yang pada aku sangat istimewa sebagai hadiah atas kunjungan aku ke rumahnya nanti. Lalu kami menuju ke Bolvo Amin rumah yang ketiga jika tidak silap di lorong 4. Beliau telah menunggu kami dipintu pagar rumahnya, kelihatan senyuman hangat terukir di bibir beliau dan dengan ucapan salam beliau menyapa kami dahulu. Walaupon aku tidak pernah berbual dan tidak pernah mendekati beliau sewaktu beliau di Malaysia kerana aku masih kecil, tetapi sifat pribadi beliau yang luar biasa dan telah berjaya mempengaruh ramai orang untuk bergerak dengan khat rahbar itu membuat beliau menjadi idola aku. Pelukan erat telah menambahkan lagi kemanisan silaturahim itu dan kami dijemput masuk ke rumahnya dan perbualan pon bermula. Beliau mempelawa aku pada kelapangan waktu untuk hadir di rumahnya kerana terdapat diskusi ilmiah yang sangat bagus. Aku pasti akan memenuhi pelawaannya itu Cuma kini aku mahu tumpukan dahulu pelajaran bahasa farsi aku di Madrasah Al-Mahdi kemudia bila sudah masak dengan siluk beluk Qom ini pasti aku akan hadir ke sana, Insyallah.

Setelah itu kira-kira jam 8malam kami pulang ke asrama walaupun agak keletihan tetapi apabila di imbas kembali detik-detik indah ketika di Haram semuanya terubati.

Wassalam
muhibbin
18 Oktober 2008
Mehmonsara IRI

HaRi yAnG sURaM

Lain ceritanya pula pada keesokan harinya, jika semalam aku merasai saat-saat yang indah dan bahagia di bumi suci Qom ini, di mana aku merasakan seperti telah berada di tepian syurga dengan keindahan panoramanya serta sambutan hangat penduduknya dan layanan diberikan oleh pelajar Malaysia, aku merasa sangat teruja dan tenang, tetapi pada hari ini sebaliknya. Semua dakwaan-dakwaan bekas pelajar Malaysia di Qom kepada aku sebelum aku berlepas ke sini, menjadi realiti dan telah kelihatan sedikit dimana pekongnya. Tetapi pada aku itu adalah perkara biasa kerana kita semua manusia biasa pasti ada kekurangan, begitu juga dengan bangsa farsi ini, dan bangsa manapun pasti ada kekurangan, tetapi sesuatu yang tidak dapat dinafikan dan pada aku suatu kelebihan yang sangat penting yang perlu ada pada setiap bangsa untuk menjadi kuat, itu ada di dalam diri setiap rakyat dan penduduk Republik Islam Iran iaitu mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan semangat sanggup mengorbankan jiwa demi keberlangsungan Revolusi Islam 1979. Ini merupakan kelebihan bangsa farsi dari yang lain.

Semuanya bermula pada jam 8pagi (‘saat hasht’ dlm bahasa farsi, ilmu baru hehehe) dimana aku telah dikejutkan dari tidur yang sangat lena di atas tilam empuk buatan Iran dengan udara dingin dan nyaman yang bagai nyanyian lagu mendayu yang menambah lentuk. Aku telah disuruh bersiap dan diluar terdapat mosyen (kereta) sedang menunggu aku bersama-sama rakan-rakan seperjuangku dari Malaysia , dua orang dari Madagasqar iaitu Idris dan Yassir dan seorang dari Tajikkistan iaitu Reza. Tanpa mandi dan hanya meletakkan minyak wangi di seluruh baju ku, aku terus menuju ke kereta dan berangkat pergi tanpa mengetahui arah tujuanku dan hanya menyerahkan nasib aku pada Allah. Aku tiba Univerisit Antarabangsa Mustaffa (nama baru yang sebelumnya dikenali sebagai Markaz Jahoni) lalu pemandu teksi itu mengarahkan aku untuk turun dan mengikuti Reza. Reza membawa aku ke dalam dan membawa aku berjumpa dengan pegawai disitu lalu beliau mengatakan mahu menguruskan urusannya di jabatan lain dan aku ditinggalkan disitu begitu sahaja. Aku menunggu hampir 30minit tanpa berbuat apa-apa selepas pegawai itu menyerahkan dua keping kertas kepada kami lalu dia biarkan kami begitu sahaja tanpa mengatakan sesuatu. Aku nak bertanya dalam bahasa Inggeris mereka tidak faham, bahasa arab pun begitu juga jadi aku mengambil keputusan untuk menelefon pelajar Malaysia untuk membantuku iaitu Sayyid Ubaidillah yang belajar di Madrasah Hujjahtiah Qom. Selepas 15minit beliau tiba dan Alhamdulilah beliau banyak membantu kami.


Lalu kami pergi ke Safoye (Bandar di Qom), untuk membuat gambar berukuran passport tetapi Ubaidillah mengatakan beliau harus pergi selepas selesai ambil gambar kerana beliau ada kelas dan sudah terlambat. Semasa proses membuat gambar Ubaidillah kelihatan begitu gelisan dan mundar-mandir. Selepas selesai, dia langsung menelefon rakanya untuk menanyakan mengenai kelas beliau, kelihatan kegembiraan terukir diwajahnya, aku pun menanyakan kenapa beliau tersenyum, lalu dia mengatakan bahawa kelas telah dibatalkan, lalu aku mengatakan itu bermakna Imam Zaman mahu menghantar anda untuk membantu kami sehingga selesai, beliau memberitahu aku bahawa semasa menuju Safoye dan ketika melintasi Haram Fathimah Ma’sumin beliau sempat berdoa untuk membantunya kerana beliau telah lambat menghadiri kelas, ternyata doanya dimakbulkan, lalu kami melaungkan selawat yang maha kuat atas bantuan Fathimah Ma’sumin itu.

Selepas itu kami ke suatu tempat untuk mendapatkan surat kebenaran untuk mengambil darah dan mendapatkan suntikan di hospital. Hampir satu jam setengah kami menunggu disitu hanya demi mendapat 2 keping surat lagi. Menurut Ubaidullah sekarang ini sistem kerajaan di Iran boleh dikatakan bagus jika dibandingkan dengan sebelum ini. Semua perubahan ini berlaku semenjak Ahmadenejad menaiki tahta presiden Iran. Ini semua adalah merupakan matlamatnya iaitu mengubah sistem pengurusan yang lebih baik, menghapuskan rasuah, menghilangkan diskriminasi, menghilangkan jurang perbezaan antara kaya dan miskin serta bergerak seiring dengan matlamat Revolusi 1979 dimana beliau menggelarkan perubahan yang mahu dibawanya itu dengan Revolusi Ketiga.

Kira-kira pukul 11.30pagi kami tiba di Hospital Baqiyatuallah, Qom untuk mengambil sampel darah serta mendapatkan suntikan. Disana mujurlah kami mendapat pemandu teksi dari markaz yang sangat budiman, beliau banyak membantu kami sehingga selesai semua urusan, namanya Jaafar. Beliau sangat suka menyebut nama aku, di dalam kereta beliau selalu menyebut nama aku “Ya Sayyid Shaikh”, aku pon membalas balik dengan “Ya habibi Ya Saiyyidi Ya Jaafar Jonam”, lalu kami sering ketawa bersama, begitu lah selalunya walaupon kami bercakap seperti ayam dan itik dimana aku cakap Inggeris dan beliau cakap farsi, sepatah haram pun tidak aku memahaminya tetapi kami mesra kelihatan seperti sudah lama kenal.
Satu hal yang dapat ku kenal pasti dari sikap orang Iran ini, mereka tidak tahu melayan orang kecuali mereka yang rapat. Sebagai contoh jika di Malaysia pelayan-pelayan kedai akan melayan kita bak Raja dimana mereka akan memujuk kita membeli barangan mereka serta sangat peramah, boleh dikatakan di Malaysia perniaga mencari pelanggan, senario ini tidak berlaku di Iran dan malah sebaliknya, pelayan-pelayan mereka tidak akan melayan kita bak Raja, hatta bak kawan pun kurang. Mereka menetapkan harga dan mereka tidak kisah jika kita mahu beli barang mereka ataupun tidak, bak kata lain di Iran pelanggan mencari perniaga dan sangat kurang mesra. Sebab itu sebelum aku memasuki sesebuah kedai, aku akan melihat terlebih dahulu raut wajah pelayan kedai itu, jika wajahnya lembut serta terdapat sedikit ukiran senyuman di bibirnya aku akan masuk manakala jika raut wajahnya bengis serta bakhil memberi senyuman aku akan tinggalkan dan berkata di dalam hati “bukan rezeki kau”. Orang Iran ini kurang peramah tetapi jika kita sudah mula bersuai-kenal terasa seperti adik-beradik pulak.

Kira-kira jam 12.30tengahari kami semua tiba kembali di asrama dengan keadaan selamat dan agak keletihan. Tetapi aku tetap mengagumi jiwa rakyat Iran yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan sanggup mengorbankan nyawa demi keberlangsungan Revolusi 1979.


Wassalam


Muhibbin
16 Oktober 2008
Mehmonsara IRI

DaRi beLacAN kE rOTi

10 Oktober 2008 merupakan satu detik yang sangat bermakna di dalam lembaran sejarah hidupku, kerana saat itulah aku akan memulakan langkah pertama di dalam mana untuk mencapai matlamat dan cita-citaku. Kira-kira jam 8.10pagi, aku telah bersiap-siap untuk berlepas ke KLIA yang kira-kira mengambil masa satu jam untuk sampai dari rumah makcik aku di Selangor. Bersama-samaku adalah walid (ayah, panggilan aku), pakcik Abdul Rahman dan 2 orang sepupu kesayanganku iaitu Mohdzar dan Fathimah. Aku tiba di KLIA kira-kira pada jam 9.20pagi dan aku terus ‘check-in’ bersama-sama teman seperjuangku Hafizzudin di kaunter Iran Air.

Di dalam sedang aku menunggu waktu untuk dibenarkan menaiki kapal terbang Boeing 481, aku sempat berbual dengan seorang rakyat Iran yang pandai berbahasa melayu. Pada awalnya aku agak terkejut tetapi setelah aku bertanya, aku dapati rupanya dia sudah tiga tahun berada di Malaysia dan mempunyai perniagaan disini. Namanya Abdul Halim, orangnya berbadan besar dan tinggi, kulitnya putih dan yang pasti jari-jemarinya sentiasa menarikan biji-biji tasbih merah sambil mulutnya berkumat-kamit agaknya sedang memuji yang Maha Agung. Dia bertanya kepada ku akan tujuan ku ke Iran, pada mulanya aku mahu menyembunyikan tujuan sebenar aku ke Iran daripada pengetahuan dia, kerana sebelum ini ada yang berpesan kepadaku bahawa jangan di beri tahu bahawa kita datang mahu belajar kerana sebahagian orang Iran tidak menyukainya. Tetapi mulut aku bertindak sebaliknya kerana mahu menguji kesahihan dakwaan itu. Lantas dengan lancar aku berkata “Saya mahu belajar di Iran di kota suci Qom”. Raut wajahnya menunjukkan bibik-bibik ketidak sukaan atas kata-kataku, lalu dia menjawab “Di madrasah, ulama’???”. Aku menjawab kembali dengan yakin “Ya, kenapa”, sambil aku menanti apa yang akan terlontar dari mulut rakyat Iran yang jarinya tidak letih terus-menerus menarikan bijik-bijik tasbih, dia menjawab “Eshhh, kenapa mahu belajar disitu? Situ tiada bagus, Malaysiakan lagi banyak bagus”, aku hanya mampu tersenyum kecil sambil mengangkatkan bahu mengisyarat bahawa aku tidak tahu. Di dalam hatiku berbisik “Oh, betul lah apa yang dikatakan sebelum ini”. Ketika jam tepat menunjukkan pukul 11.20pagi, semua penumpang berlumba-lumba untuk memasuki kapal terbang Iran Air yang dalamnya agak luas dengan hiasan yang agak sederhana.

Setelah hampir 8 jam aku berada di dalam kapal terbang dengan dikelilingi rakyat Iran yang baru balik dari bercuti pada musim panas yang mana sepatah dari percakapan mereka pun aku tidak mengerti, aku merasakan seperti berada di planet lain. Kira-kira jam 3petang waktu Iran iaitu kira-kira jam 8malam waktu Malaysia, Alhamdulilah akhirnya aku sampai juga di Lapangan Terbang Imam Khomeini, Tehran. Di sana aku telah disambut oleh seorang pelajar Malaysia bernama Feroz. Lantas beliau terus membawa aku berjumpa dengan pemandu teksi dari Markaz Jahoni (tempat pengurusan pelajar antarabangsa di Qom). Barang-barang aku dibawanya ke dalam kereta dan lalu Feroz pon meninggalkan aku bersama pemandu teksi yang bernama Ali dan Javed itu. Di dalam perjalanan dari Tehran ke Qom yang mengambil masa hampir satu jam setengah itu tidak kurasai sama-sekali kerana mataku ini telah asyik menikmati panorama bukit-bukau pasir yang unik pada pandangan aku. Ini kerana di bukit-bukau itu bukan seperti bukit-bukau biasa tetapi bukit-bukau di daerah Tehran-Qom ini terdapat perkataan-perkataan seperti “Ya Mahdi Adrikni”, “Ya Hussain”, “Allah Hu Akbar” dan sebagainya yang diperbuat dari butir-butir batu kecil yang disusun rapi membentuk sesuatu perkataan.

Kira-kira jam 6 petang aku tiba di Bandar Qom dan terus menuju ke asrama sementara Markaz Jahoni di Zambil Obod. Di sana aku disambut dengan pelajar-pelajar dari Negara lain dengan penuh tangan terbuka dan kemesraan. Aku merasa bahagia dan aman dengan senyuman dan layanan mereka. Selepas itu pelajar-pelajar Malaysia juga hadir ke sana dengan membawa juadah yang enak untuk aku dan teman seperjuangku, aku dilayan bak putra raja yang merantau. Aku sangat terharu dan aku ucapkan ribuan terima kasih atas layanan mereka kepada ku. Insyallah hanya Allah sahaja yang membalas jasa mereka. Akhirnya aku telah berhijrah dari Negara belacan ke Negara roti dengan selamat.

Wasalam

muhibbin
12 Oktober 2008
Mehmonsara IRI