Selamat Hari Raya Aidilfitri Mohon Maaf Zahir Batin kepada semua pengunjung blog ini...AFWAN MINKUM..

Friday, November 28, 2008

DaRi beLacAN kE rOTi

10 Oktober 2008 merupakan satu detik yang sangat bermakna di dalam lembaran sejarah hidupku, kerana saat itulah aku akan memulakan langkah pertama di dalam mana untuk mencapai matlamat dan cita-citaku. Kira-kira jam 8.10pagi, aku telah bersiap-siap untuk berlepas ke KLIA yang kira-kira mengambil masa satu jam untuk sampai dari rumah makcik aku di Selangor. Bersama-samaku adalah walid (ayah, panggilan aku), pakcik Abdul Rahman dan 2 orang sepupu kesayanganku iaitu Mohdzar dan Fathimah. Aku tiba di KLIA kira-kira pada jam 9.20pagi dan aku terus ‘check-in’ bersama-sama teman seperjuangku Hafizzudin di kaunter Iran Air.

Di dalam sedang aku menunggu waktu untuk dibenarkan menaiki kapal terbang Boeing 481, aku sempat berbual dengan seorang rakyat Iran yang pandai berbahasa melayu. Pada awalnya aku agak terkejut tetapi setelah aku bertanya, aku dapati rupanya dia sudah tiga tahun berada di Malaysia dan mempunyai perniagaan disini. Namanya Abdul Halim, orangnya berbadan besar dan tinggi, kulitnya putih dan yang pasti jari-jemarinya sentiasa menarikan biji-biji tasbih merah sambil mulutnya berkumat-kamit agaknya sedang memuji yang Maha Agung. Dia bertanya kepada ku akan tujuan ku ke Iran, pada mulanya aku mahu menyembunyikan tujuan sebenar aku ke Iran daripada pengetahuan dia, kerana sebelum ini ada yang berpesan kepadaku bahawa jangan di beri tahu bahawa kita datang mahu belajar kerana sebahagian orang Iran tidak menyukainya. Tetapi mulut aku bertindak sebaliknya kerana mahu menguji kesahihan dakwaan itu. Lantas dengan lancar aku berkata “Saya mahu belajar di Iran di kota suci Qom”. Raut wajahnya menunjukkan bibik-bibik ketidak sukaan atas kata-kataku, lalu dia menjawab “Di madrasah, ulama’???”. Aku menjawab kembali dengan yakin “Ya, kenapa”, sambil aku menanti apa yang akan terlontar dari mulut rakyat Iran yang jarinya tidak letih terus-menerus menarikan bijik-bijik tasbih, dia menjawab “Eshhh, kenapa mahu belajar disitu? Situ tiada bagus, Malaysiakan lagi banyak bagus”, aku hanya mampu tersenyum kecil sambil mengangkatkan bahu mengisyarat bahawa aku tidak tahu. Di dalam hatiku berbisik “Oh, betul lah apa yang dikatakan sebelum ini”. Ketika jam tepat menunjukkan pukul 11.20pagi, semua penumpang berlumba-lumba untuk memasuki kapal terbang Iran Air yang dalamnya agak luas dengan hiasan yang agak sederhana.

Setelah hampir 8 jam aku berada di dalam kapal terbang dengan dikelilingi rakyat Iran yang baru balik dari bercuti pada musim panas yang mana sepatah dari percakapan mereka pun aku tidak mengerti, aku merasakan seperti berada di planet lain. Kira-kira jam 3petang waktu Iran iaitu kira-kira jam 8malam waktu Malaysia, Alhamdulilah akhirnya aku sampai juga di Lapangan Terbang Imam Khomeini, Tehran. Di sana aku telah disambut oleh seorang pelajar Malaysia bernama Feroz. Lantas beliau terus membawa aku berjumpa dengan pemandu teksi dari Markaz Jahoni (tempat pengurusan pelajar antarabangsa di Qom). Barang-barang aku dibawanya ke dalam kereta dan lalu Feroz pon meninggalkan aku bersama pemandu teksi yang bernama Ali dan Javed itu. Di dalam perjalanan dari Tehran ke Qom yang mengambil masa hampir satu jam setengah itu tidak kurasai sama-sekali kerana mataku ini telah asyik menikmati panorama bukit-bukau pasir yang unik pada pandangan aku. Ini kerana di bukit-bukau itu bukan seperti bukit-bukau biasa tetapi bukit-bukau di daerah Tehran-Qom ini terdapat perkataan-perkataan seperti “Ya Mahdi Adrikni”, “Ya Hussain”, “Allah Hu Akbar” dan sebagainya yang diperbuat dari butir-butir batu kecil yang disusun rapi membentuk sesuatu perkataan.

Kira-kira jam 6 petang aku tiba di Bandar Qom dan terus menuju ke asrama sementara Markaz Jahoni di Zambil Obod. Di sana aku disambut dengan pelajar-pelajar dari Negara lain dengan penuh tangan terbuka dan kemesraan. Aku merasa bahagia dan aman dengan senyuman dan layanan mereka. Selepas itu pelajar-pelajar Malaysia juga hadir ke sana dengan membawa juadah yang enak untuk aku dan teman seperjuangku, aku dilayan bak putra raja yang merantau. Aku sangat terharu dan aku ucapkan ribuan terima kasih atas layanan mereka kepada ku. Insyallah hanya Allah sahaja yang membalas jasa mereka. Akhirnya aku telah berhijrah dari Negara belacan ke Negara roti dengan selamat.

Wasalam

muhibbin
12 Oktober 2008
Mehmonsara IRI

No comments: