Selamat Hari Raya Aidilfitri Mohon Maaf Zahir Batin kepada semua pengunjung blog ini...AFWAN MINKUM..

Thursday, December 4, 2008

IsLaM LemAH iSlaM kUAt

Pada 19 November, rakan sebilik aku dari Brasil yang bernama Ismail mahu pulang ke negaranya untuk bercuti selama 3 bulan menjenguk sanak saudaranya disana. Sebelum dia berangkat pada malamnya, aku bersama-sama rakan sebilik sempat berkumpul dan berbual buat kali terakhir. Di dalam perbualan itu timbul satu soalan dari salah seorang dari rakan sebilik aku dari Rusia mengatakan apakah di Brasil ramai umat Islam?. Ismail dengan riak wajah agak sedih mengatakan tidak dan beliau menambah bahawa di Brasil bukan sahaja umat islam sedikit malah mereka tidak boleh mengaku Islam atau menunjukkan gaya-gaya seorang Islam kerana masyarakat disana sangat benci akan Islam dan terlalu fanatik dengan agama Kristian. Jadi kami semua terkejut dan mengatakan jadi apa yang kau lakukan? Beliau mengatakan bahawa “aku terpaksa bertaqiyyah demi menyelamat nyawa dan keluarga dari ancaman masyarakat”. Begitu juga nada jawapan yang diberikan oleh seorang lagi rakan ku dari Mexico yang merupakan rakan karib Ismail. Beliau juga mengatakan begitu juga yang berlaku di Mexico, dimana masyarakat disana tidak suka akan umat Islam dan kehadiran Islam dibumi Kristian itu.

Di lain situasi pula aku pernah berbual dengan rakan ku dari Amerika yang sekarang ini sudah kembali ke Amerika kerana tekanan perasaan dan “Culture Shock”. Sebelum beliau kembali sempat juga aku bersuai-kenal dengan talabeh yang bertubuh kecil dan agak gila-gila sedikit. Beliau bernama Kamiars. Beliau pernah menceritakan bahawa di Amerika, semua media memainkan peranan yang agak aktif dalam menyebarkan fitnah terhadap Islam kepada masyarakat Amerika. Mereka memberi “trademark” pengganas kepada Islam dan memburuk-burukkan Islam. Sehinggakan ramai masyarakat Amerika yang berfikiran seperti itu terhadap umat Islam dan sangat membenci mereka.

Disini aku terfikir akan dua hal yang perlu dibahaskan dan perlu dipandang serius oleh umat Islam seluruhnya. Pertama nasib umat Islam di Negara Kristian dan penentangan Kristian terhadap umat Islam seluruhnya, dan yang keduanya solusi untuk pembelaan nasib umat Islam di dunia.

Baiklah, disini aku berminat untuk membahaskan mengenai nasib umat Islam di Negara Kristian ataupun Negara bukan Islam dan penentangan yang dilakukan oleh Kristian terhadap umat Islam terlebih dahulu. Jika kita lihat nasib umat Islam di Negera Barat Seperti Perancis, British, Itali, Denmark dan sebagainya, penentangan terhadap umat Islam dilakukan dengan cara yang agak halus iaitu dengan menafikan hak-hak mereka sebagai penganut agama Islam dinegara asal mereka, tiada suara di dalam kerajaan dan hidup mereka sengaja disusahkan dan cuba dipinggir dari masyarakat. Seperti contoh yang berlaku di Perancis, wanita-wanita Islam tidak dibenarkan sama-sekali untuk memakai tudung baik di sektor pendidikan, sektor awam dan swasta. Bagi pasangan Islam yang mahu berkahwin di Perancis dan bagi mendapatkan sijil perkahwinan, pasangan wanitanya ketika majlis akad nikah harus membuka tudung. Mereka memberi alasan kebebasan dan tidak mahu rakyat negaranya men-identitikan mana-mana agama. Umat Islam di Negara Barat juga susah untuk mendapat pekerjaan jika bernama Islam. Mereka sengaja dihadapi dengan pelbagai masalah dan kesusahan.

Lain senarionya bagi nasib umat Islam dibahagia Asia. Seperti yang berlaku di Selatan Thailand dimana umat Islam dibunuh dengan kejam oleh tentera Thailand. Pada peristiwa Thak-Bai yang merupakan peristiwa hitam bagi masyarakat Pattani, ketika mereka melakukan demonstarsi secara aman, tiba-tiba tentera Thailand datang dan melepaskan tembakan kearah penunjuk perasaan, tanpa mengira wanita, orang tua atau kanak-kanak semua habis dibunuh dengan kejam. Pembantaian kerajaan Thailand terhadap masyarakat Islam di selatan Thailand boleh kita lihat kemelaratanya sehingga ke hari ini. Begitu juga yang berlaku di India dimana ramai umat Islam dibunuh dengan kejam, rumah-rumah mereka dibom dan sehingga hari ini kita masih dapat mendengar berita-berita mengenainya. Nasib Umat Islam di Singapura pula sama rentaknya seperti di Barat. Mereka tidak dibenarkan untuk melaungkan azan keluar dari masjid dan mereka membuat anak-anak umat Islam ketinggalan dari segi pendidikan dan masayarakat Islam mundur dari pembangunan.

Jika kita mahu menceritakan akan penganaiyan nasib umat Islam di Negara bukan Islam itu amat banyak dan penentangan yang dilakukan adalah sangat zalim dan kadang-kadang diluar keperimanusian, seperti yang berlaku di Checnya dan Bosnia. Disini aku belum menceritakan mengenai provokasi-provokasi dan persengkitaan yang ditimbulkan Amerika di negara Islam seperti di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir dan Lubnan yang mana telah mengakibatkan jutaan nyawa umat Islam mati begitu sahaja tanpa sebarang pembelaan.

Nah sekarang ini aku ingin timbulkan satu persoalan dari penerangan diatas, “Apakah yang harus dilakukan oleh umat Islam seluruh dunia bersama-sama pembesar-pembesar Islam yang bukan ditaja oleh Amerika untuk membela nasib umat Islam dan menamatkan penindasan yang dihadapi umat Islam diseluruh dunia?”. Disini melalui tinjauan dan kajian yang dilakukan, aku mendapati ada beberapa solusi yang telah dilakukan dan yang akan dilakukan oleh pembela nasib umat Islam dunia. Pertama umat Islam harus keluar berperang dan melawan kezaliman, keduanya ketua-ketua Negara Islam harus membuat diplomasi dan membela nasib umat Islam, ketiga para peniaga Islam dan pengguna Islam harus memboikot produk Negara yang menindas orang Islam dan yang terakhir negara-negara Islam perlu membuat satu pakatan melawan kuasa zalim.

Adapun jika kita lihat dari solusi yang telah diberikan diatas, sebahagiannya sudah pun dijalankan tetapi masih juga tidak menampakkan kesannya terhadapat pembelaan nasib umat Islam dunia. Seperti umat Islam keluar berperang dan berjuang, memboikot produk Negara yang menindas umat Islam dan membuat pakatan Negara-negara Islam. Tetapi ini semua masih menemui jalan buntu dan yang pasti nyawa umat Islam semakin hari semakin banyak yang hilang dan hak orang Islam semakin hari semakin ditindas.

Nah, disini aku menemui satu kata kunci atau punca sebab dari solusi diatas tidak berjaya dilaksanakan dengan baiknya iaitu masalah perpaduan. Masalah perpaduan merupakan inti bagi menciptakan solusi terhadap masalah nasib umat Islam ini. Ketika umat Islam seluruhnya bersatu dan sedar akan kepentingan bersatu menghadapi musuh maka yang pasti dengan mudah Kristian dan mereka yang menindas umat Islam akan gentar dan memuliakan umat Islam. Ayatoallah Imam Khomeini q.s (pengasas Revolusi Islam Iran) pernah mengatakan bahawa “Jika umat Islam bersatu dan setiap seorang mencurahkan sebaldi air ke bumi Israel maka tanah Israel akan tenggelam”. Disini menunjukkan bahawa umat Islam mempunyai potensi yang besar untuk menjadi kuasa besar dan melawan pemerintah yang zalim jika mereka bersatu dan yang pasti bendera kebenaran dapat ditegakkan dibukit-bukit kezaliman.

Adapun hadis dari Imam Jaafar Sa’diq a.s yang mengatakan: “tidak dikatakan beliau itu seorang mukmin jika hari-harinya tidak pernah memperhatikan masalah mukmin lain”. Di lain riwayat pula Imam Muhammad Baqir a.s pernah mengatakan “Tiga perkara yang orang melakukannya tidak akan mati sebelum merasakan akibatnya adalah sikap melampaui batas, memutuskan tali persaudaraan dan sumpah palsu menentang Allah… “. Di dalam kalam suci Quran Al-Karim dalam surah Al-Hujrat ayat 9 bermaksud “sesungguhnya kaum mukminin itu adalah bersaudara”. Begitu juga yang ayat 103 dalam surah Al-Imran bermaksud “dan peganglah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah”. Di dalam sabda Nabi dan kalam suci Quran Al-Karim terdapat banyak lagi ayat-ayat yang mengajak dan menerangkan kepada kita akan kebaikkan menjaga perpaduan.

Kuasa Barat dan pemerintah zalim amat gerun dengan Islam jika dua kelompok terbesar di dalam Islam bersatu dan berganding bahu. Kelompok ini adalah kelompok saudara Syiah dan kelompok saudara Sunni yang mana merupakan dua kelompok terbesar dan terkuat di dalam dunia Islam dan masing-masing mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri. Kedua-dua kelompok ini adalah bersaudara dan masing-masing mengucap dua kalimah syahadah yang sama dan memegang bendera Islam Muhammadi yang sama. Dengan ini pihak barat amat takut dan tidak senang duduk jika hal ini menjadi realiti. Lantas mereka membuat langkah lebih awal dengan mewujudkan satu kelompok lagi ditengah-tengah dua kelompok bersaudara ini dan langsung mengadu-domba serta menyebarkan fitnah agak kedua-dua kelompok terbesar ini berantakan. Mereka sering menyatakan perpaduan Islam tidak mungkin terjadi selagi ada kelompok syiah dan mereka juga sering mengatakan bahawa Kelompok syiah tidak mungkin akan dapat bersatu dengan kelompok Sunni dan kami akan pastikan hal itu (perpaduan) tidak akan pernah terjalin diantara keduaanya. Ini merupakan virus yang harus disingkir. Kelompok ini merupakan gunting dalam lipatan yang akan lebih merapuhkan Islam dan akan membuat Islam lebih tertindas. Atas alasan apakah mereka mengatakan bahawa Syiah dan Sunni tidak boleh bersatu? Apakah atas dasar aqidah?.

Nah, disini aku ingin ajukan satu soalan kepada mereka yang memecah-belahkan kesatuan Islam, “Apakah dari serangan-serangan yang dilakukan oleh Barat dan pemerintahan bukan Islam terhadap umat Islam di seluruh dunia itu ada mengira perbezaan aqidahnya atau hanya terbatas pada orang Islam Sunni? Atau hanya terbatas pada orang Islam Syiah? Atau kedua-duanya sekali? Jika ada yang mengatakan terbatas hanya pada orang Islam Sunni maka mereka silap, kerana bagaimana pula dengan nasib orang Islam Syiah di Lubnan dan Iraq?. Jika ada yang mengatakan hanya terbatas pada orang Islam Syiah maka dia silap besar, bagaimana pula dengan pembunuhan yang berlaku di Palestin dan Afghanistan? Jawapannya adalah kedua-dua kelompok menghadapi masalah yang sama. Ini dikeranakan pihak musuh tidak pernah mengangap kewujudan Kelompok Sunni dan Syiah tetapi mereka hanya memusuhi Islam. Mereka hanya membunuh orang Islam tanpa mengira mazhabnya. Lantas jika umat Islam berterusan terpedaya dengan fitnah yang disebarkan oleh kelompok yang diwujudkan oleh Barat dan pemerintah bukan Islam maka mereka(Barat) akan lebih mudah melakukan penindasan keatas umat Islam tanpa perlu khuatir akan serangan balas dari orang Islam kerana orang Islam sudah semakin lemah dan tidak pernah mahu bersatu.

Cuba kita bayangkan akan potensi yang ada pada Islam dan kekuatan yang ada pada umat Islam jika semua mazhab di dalam Islam bersatu terutamanya kelompok terbesar iaitu Sunni dan Syiah. Dengan kekuatan kewangan yang ada pada Negara-negara Islam saudara Sunni dan kekuatan ketenteraan dan teknologi yang ada pada Negara Islam saudara Syiah serta seluruh umat Islam turut sama berjuang dan berganding bahu, sudah pasti pemerintahan zalim akan berasa gentar dan Islam akan kembali menguasai dunia dan bisa mengembalikan zaman kegemilangan Rasuallah, para sahabat dan zaman para tabi’in.

Ketahuilah bahawa semakin hari sebenarnya semakin ramai nyawa umat Islam sedang menderita, dimana anak-anak kehilangan ayah dan ibu, isteri kehilangan suami, ayah kehilangan ibu dan rakan kehilangan saudara di Iraq, Palestin dan Negara-negara lain, sedangkan kita masih duduk di kerusi empuk sambil dikelilingi bidadari-bidadari serta harta permata yang sementara. Dr. Ali Shariati pernah berkata “Jika terdapat seorang ulama dan ilmuan di dalam masyarakat yang zalim dan beliau tidak melakukan sebarang tindakan atas masyarakat itu ketahuilah bahawa beliau adalah merupakan pelaku kezaliman terbesar”.
Wassalam

Muhibbin
1 December 2008
Madrasah Al-Mahdi IRI



1 comment:

Syabab Research Centre said...

Bismihitaala.


ya ayuhalmuslimun ittahidu! ittahidu